Leave a Comment

Remaja Lari Ikut Kekasih Di Rayu Pulang

Nur Aliah Baharuddin atau Angah di rayu pulang.




JERANTUT – “Pulanglah Angah, nenek Saodah kini ­jatuh sakit sejak pemergian dan menanti kepulangan mu,”.



Itu antara luahan Noorlilie Baharuddin, 31, dari Taman Bukit Permai Jerantut dekat sini, yang merayu anak saudaranya, Nur Aliah Baharuddin, 19, pulang ke pangkuan keluarga.



Noorlilie berkata, Nur Aliah atau dipanggil Angah dalam keluarganya, dipercayai dilarikan teman lelakinya pada malam 25 Mac lepas, kira-kira jam 11 malam, dari kediaman neneknya (Saodah) di Felda Jengka 1 Maran.



Menurutnya, anak kedua daripada tiga beradik itu hanya membawa beberapa helai pakaian dan sehingga kini tidak diketahui nasibnya dan lokasinya.



“Sebelum kejadian, ­memang ada sedikit perselisihan faham antara Angah ­dengan keluarga berikutan dinasihatkan ibu bapanya, Baharuddin Taib, 45, dan Mariam Nayan, 42, supaya `berenggang’ ­dengan teman lelakinya yang juga seorang duda berusia 38 tahun.



“Pada malam kejadian, saya pulang ke Felda Jengka Satu, Maran untuk bertemu emak saya, Saodah Ishak, 65, yang tinggal bersama Angah, tetapi anak saudara saya tidak menunjukkan apa-apa ke­risauan dan berbual mesra ­malah begitu manja dengan neneknya,” katanya.



Noorlilie berkata, kehi­langan Angah disedari emak (Saodah) pada 26 Mac lepas iaitu ketika emak masuk ke ­bilik untuk mengejutkan Angah, tetapi tergamam apabila Angah tiada di tempat tidur.



Menurutnya, emak mendapati Angah tiada dan ­menyelak selimut, hanya menjumpai bantal peluk yang digunakan Angah untuk ­mengelirukan, seperti seolah-olah dia sedang tidur.



“Sehingga kini selepas kehilangan Angah, emak sering juga jatuh sakit dan tidak berselera makan kerana terkenangkan Angah yang sangat dikasihinya,” katanya.



Noorlilie berkata, Angah berkemungkinan keluar dari rumah setelah kecewa hasrat untuk mengahwini ­kekasihnya itu mendapat tentangan keluarga.



Menurutnya, mereka ­sekeluarga kini berasa risau kerana Angah tidak dapat dihubungi sejak dia keluar ­rumah pada minggu lepas.



“Kami tidak tahu apa ­nasibnya kini. Justeru kami mengharapkan Angah pulang semula dan boleh berbin­cang mengenai kehendaknya dan merestui perhubungan Angah.



“Keluarga tidak marah dan ingin berunding secara baik dan jika Angah ingin berkahwin kita boleh adakan ­majlis dengan cepat. Apa pun kami mahukan Angah balik ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat,” katanya kepada Sinar Harian.



Berikutan kehilangan Nur Aliah, Noorllilee bersama ­keluarganya membuat ­laporan di Balai Polis Sungai Jerik, Maran pada 26 Mac jam 9 pagi.



Noorlilie berkata, sesiapa yang mengetahui lokasi dan menjumpai Nur Aliah (­gambar) diminta meng­hubungi bapanya, Baharuddin Taib, di talian 013 2787332 atau Saodah Ishak di talian 013 6060975.

-Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment