LAGAK SAMSENG... warga Afrika bertekak dengan anggota polis.
KUALA LUMPUR - Kebimbangan penghuni Kondominium Venice Hills di Batu 9, Hulu Langat dekat sini terhadap kebanjiran pendatang asing dari Afrika sampai ke kemuncaknya hari ini apabila seorang lelaki warga Nigeria mati setelah dibelasah kerana mencabul seorang wanita tempatan.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ab Rashid Ab Wahab berkata, mangsa berusia 35 tahun merupakan seorang pelajar di sebuah kolej swasta telah mencabul kehormatan seorang tukang cuci wanita berusia 43 tahun di kondominium itu pada 11 pagi.
"Wanita tersebut telah dipeluk dan dicium dari belakang oleh lelaki Nigeria itu yang juga menunjukkan kemaluannya kepada wanita itu. Wanita itu bagaimanapun berjaya melepaskan diri dan melaporkan kejadian itu kepada tujuh orang anggota Rela yang bertugas," katanya kepada pemberita di sini.
Sebahagian warga Afrika berkumpul kerana tidak berpuas hati berikutan kematian seorang rakan mereka.
Ab Rashid berkata menyedari perbuatannya diketahui, lelaki Nigeria itu telah cuba melarikan diri ke kawasan lobi kondominium menggunakan lif namun dia berjaya ditahan oleh anggota Rela berkenaan.
Beliau berkata, anggota polis yang tiba ke tempat kejadian kemudian mendapati lelaki Nigeria itu yang diikat berada dalam keadaan tidak bermaya dan terus membawanya ke sebuah pusat perubatan terdekat, namun disahkan mati sebaik tiba.
Katanya, mayat mangsa kemudian telah dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat. Ab Rashid berkata, kesemua tujuh anggota Rela itu yang berumur lingkungan 20-an telah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Katanya, polis masih menyiasat sama ada lelaki Nigeria tersebut mati akibat dipukul menggunakan senjata atau sebaliknya.
Difahamkan, kondominium berkenaan layak digelar ‘Mini Afrika’ berikutan hampir ratusan warga dari benua itu menyewa di premis terbabit.
Menurut tukang cuci warga tempatan berusia 40-an itu, lelaki Nigeria terbabit beberapa kali mengganggunya.
Semalam dia tidak dapat tahan lagi selepas lelaki berkenaan bertindak melampau dengan menunjukkan kemaluan.
“Sudah beberapa kali lelaki warga asing itu mengganggu saya ketika saya bekerja dan jam 11 pagi tadi (semalam), tiba-tiba saya dipeluk dari belakang.
“Saya cuba melepaskan diri dengan meronta dan menyiku lelaki berkenaan, sebaik dapat melepaskan diri daripada pelukan, saya memarahinya, tetapi terkejut apabila lelaki berkenaan membuka seluar serta menunjukkan kemaluannya.
“Saya lari dan mengadu kejadian itu kepada anggota Rela yang bertugas mengawal kawasan kondominium,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian semalam.
Katanya, anggota Rela terbabit kemudian mencari lelaki Nigeria berkenaan, namun dia tidak pasti berapa ramai anggota Rela pergi mencari lelaki itu.
“Tak sangka perkara macam ini yang terjadi pula, saya difahamkan warga Nigeria terbabit dibelasah hingga mati selepas berlaku pertengkaran dengan anggota Rela. Saya kini bimbangkan keselamatan diri serta takut rakan lelaki itu mencari saya pula,” katanya.
Sehubungan kejadian itu, lebih 100 penghuni kulit hitam kemudian bertindak merusuh kerana marah dan bilangan mereka semakin ramai selepas polis tiba serta turut cuba menyerang polis yang ingin menyuraikan mereka.
Sementara itu saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Abu berkata, kira-kira 200 lelaki Afrika telah merusuh sebelum ketibaan pihak polis dan mereka telah merosakkan beberapa harta awam seperti pondok pengawal dan bilik gerakan Rela.
"Saya nampak mereka telah merusuh apabila mendapat tahu rakan mereka telah mati dan kejadian ini telah menakutkan penduduk setempat," katanya.
Beliau berkata, mangsa yang sering mabuk sebelum ini pernah menimbulkan masalah kepada penduduk di kawasan itu. – Bernama
0 comments:
Post a Comment