Leave a Comment

Demi Untuk Keamanan, Wanita Kampung Lancarkan 'Mogok Seks'




Hasna Kandatu , pemimpin kumpulan wanita di kampung tersebut.




MANILA: Wanita di sebuah perkampungan di selatan Filipina berjaya mewujudkan keamanan selepas mengancam melakukan ‘mogok seks’ jika pasangan mereka terus berperang, lapor agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.

Amaran mengenai ‘mogok seks’ itu dibuat wanita di Kampung Dado, Mindanao, yang sering menyaksikan berlaku pertikaian di kalangan penduduk setempat.

Pegawai serantau Suruhanjaya Tinggi Pelarian PBB (UNHCR), Rico Salcedo, berkata tindakan itu akhirnya membolehkan 102 keluarga yang mendiami kampung berkenaan hidup aman dan membangun.

“Kawasan ini sering berlaku konflik membabitkan pertikaian di antara keluarga atau isu tanah,” katanya.







Wanita-wanita tukang jahit yang mencetus idea 'Mogok Seks' demi keamanan kampung mereka



Menurut Salcedo, idea ‘mogok seks’ itu datang daripada sekumpulan wanita tempatan yang menubuhkan perniagaan jahitan.

Bisnes mereka terjejas apabila produk siap dijahit tidak dapat diserahkan kepada pelanggan kerana laluan di kampung itu sering ditutup untuk mengelak keganasan.

Menurut Salcedo, kejadian tembak-menembak sering berlaku di kalangan lelaki tempatan, terutama di kawasan berhampiran jalan.

Pemimpin kumpulan wanita itu, Hasna Kandatu, berkata mereka bersepakat enggan melayan suami masing-masing jika terus mencetuskan masalah.

“Jika mereka keluar rumah untuk berkelahi, mereka tidak dibenarkan pulang dan kami enggan melayan mereka,” katanya. Pertikaian suku membabitkan masalah tanah, wang atau politik sering berlaku di selatan Filipina. - AFP

0 comments:

Post a Comment