Leave a Comment

Wanita Hamil Maut Ditikam Suami

 Anggota polis mengusung jenazah Suzila yang mati ditikam suami dalam kejadian di Pangsapuri Permai, Sungai Besi, semalam.


 

KUALA LUMPUR — Seorang wanita ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di bahagian badan serta luka di tangan dipercayai dibunuh suaminya di ruang tamu rumah di Pangsapuri Permai, Sungai Besi di sini, semalam.



Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh Tara Singh berkata, dalam kejadian 6.41 petang itu, wanita berusia 28 tahun berkenaan ditemui dalam keadaan berlumuran darah akibat daripada kesan tikaman.



“Mangsa yang merupakan seorang pekerja swasta yang tinggal di pangsapuri berkenaan dalam tiga ke empat bulan lepas telah dibunuh di dalam rumah itu dan polis tidak menolak kemungkinan ia dilakukan oleh suami mangsa.



“Ketika polis tiba di tempat kejadian, seorang lelaki berusia 42 tahun iaitu suami mangsa berada berhampiran tubuh isterinya yang sudah tidak bernyawa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.



Katanya siasatan awal polis menemui sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu.



Mohan berkata, polis masih menyiasat punca sebenar kejadian bagaimanapun tidak menolak ia berpunca daripada perselisihan faham suami isteri.



 “Dia menelefon saya dan berkata aku dah bunuh isteri aku. Suaranya teresak-esak seperti menangis. dan selepas itu panggilan terputus,” kata rakan baik kepada seorang suami yang menikam isterinya bertubi-tubi hingga mati di rumah mereka di tingkat 8, Blok B, Pangsapuri Permai, Sungai Besi, petang semalam.



Rakan yang enggan identitinya didedahkan itu berkata, sebaik menerima panggilan daripada suspek berkenaan yang berusia 42 tahun, dia terus bergegas ke rumah lelaki itu.



Menurutnya, sebaik tiba, dia mendapati rakannya itu berada di dalam rumah manakala isterinya yang sudah meninggal dunia dibalut dengan selimut dan diletakkan di ruang tamu.



“Saya segera menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian berkenaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.



Menurut Ketua Polis Daerah Cheras mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat dan suspek ditahan reman bagi membantu siasatan.



Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

0 comments:

Post a Comment