Leave a Comment

Sindiket Penipuan 'MACAU SCAM' Tumpas





ANGGOTA sindiket "Macau scam" yang ditahan dalam serbuan di Lorong Kinta, Georgetown, Pulau Pinang,semalam.

GEORGETOWN - Berselindung di sebalik syarikat perunding, sindiket antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi berjaya ditumpaskan polis dalam dua serbuan serentak di Lorong Kinta dan Tanjung Tokong.



Difahamkan sindiket yang dikenali sebagai "Macau scam" berjaya mengumpan ratusan rakyat China dan Taiwan untuk dijadikan mangsa, dengan jumlah kerugian mencapai RM10 bilion.



Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, serbuan yang dilakukan itu adalah susulan serbuan yang dijalankan di sebuah premis di Bayan Baru September lalu.



Abdul Rahim berkata, dalam serbuan kira-kira jam 10 pagi  polis berjaya menahan 34 warga asing dan tiga warga tempatan yang dipercayai terlibat dengan sindiket berkenaan.



Menurutnya, dalam serbuan pertama ke atas sebuah pejabat di Lorong Kinta, polis menahan 30 warga China dan Taiwan yang dipercayai bertugas sebagai operator telefon untuk memperdayakan mangsa.



Dalam serbuan kedua di Tanjung Tokong, polis menahan tujuh lagi ahli sindiket termasuk tiga warga tempatan.



“Hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket adalah menggunakan warga kedua-dua negara itu yang akan membuat panggilan palsu kepada mangsa di negara masing-masing.



“Mereka yang menyamar sebagai wakil pasukan keselamatan atau pegawai bank akan mengarahkan mangsa membuat panggilan ke agensi kerajaan atau bank tempatan kerana terdapat masalah terhadap akaun bank mereka sebelum mangsa  diarahkan memasukkan sejumlah wang ke akaun yang diberikan petugas sindiket,” katanya kepada media ketika ditemui di lokasi serbuan di sini.



Beliau berkata, serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan Pulau Pinang turut merampas beberapa unit komputer riba serta kelengkapan telekomunikasi di kedua-dua premis berkenaan.



Polis turut merampas pasport milik pekerja China dan Taiwan yang ditemui di lokasi kedua bagi membantu siasatan.



“Dalam serbuan tahun lalu, polis tidak berjaya menahan ahli sindiket yang terlibat namun kali ini hasil maklumat orang awam dan intipan yang dilakukan sejak lebih sebulan lalu, kita berjaya mematahkan sendiket ini.



“Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.



Menurutnya, serbuan yang dilakukan itu adalah yang terbesar bagi tahun ini melibatkan sindiket antarabangsa.







 AMARAN OLEH POLIS DIRAJA MALAYSIA


Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dengan satu sindiket penipuan antarabangsa yang digelar sebagai `Macau Scam’.Sindiket terbabit didapati akan menjalankan penipuan dengan menyamar sebagai pegawai Bank Negara atau polis Hong Kong.



“Sindiket akan memaklumkan mangsa bahawa kad kredit atas nama mangsa telah digunakan di merata tempat dengan perbelanjaan yang tinggi.

“Ada juga mangsa yang dimaklumkan kononnya akaun bank mereka dikesan terlibat dalam kes jenayah di luar negara,” katanya di sini hari ini.



Ahli sindiket yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara atau polis itu akan menawarkan bantuan bagi mengelak akaun atau wang mangsa daripada dibekukan atau dirampas.

Bagaimanapun, mangsa diminta membuat pindahan wang dari akaun bank mangsa ke akaun bank yang dibekalkan oleh sindiket.



Justeru itu orang ramai di nasihatkan supaya tidak melayani panggilan telefon yang mengarahkan mereka memindahkan wang daripada akaun peribadi kepada akaun orang lain.

0 comments:

Post a Comment