Pasangan seks murahan, Alvin Tan dan Vivian Lee akhirnya tertunduk malu dihadapan kamera para wartawan, walaupun sebelum ini mereka begitu ghairah menyebarkan aksi-aksi perhubungan intim mereka dalam media-media sosial dan blog.
KUALA LUMPUR 15 Julai - Pasangan kontroversi, Alvin Tan, 25, dan Vivian Lee, 24, yang telah mempersendakan umat Islam dan bulan Ramadan dengan mengajak memakan bak kut teh (sup tulang babi), hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di sini pagi ini.
Kedua-duanya yang hadir tanpa peguam mahupun ditemani ahli keluarga atau rakan dilihat berjalan kaki memasuki pekarangan bangunan SKMM pada pukul 10.45 pagi.
Pasangan itu turut kelihatan terkejut apabila melihat sekumpulan wartawan daripada pelbagai agensi dan laman web sedang menunggu di situ, sehingga menyebabkan Vivian menutup muka bagi mengelak gambar mereka dirakam.
Alvin atau nama sebenarnya, Tan Jye Yee dan Vivian difahamkan telah dipanggil SKMM semalam, untuk memberi keterangan berhubung isu mempersendakan bulan Ramadan dengan memuat-naik gambar hidangan bak kut teh dengan kapsyen Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh (sup tulang babi)… wangi, enak dan menyelerakan lengkap dengan logo halal.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan Operasi SKMM, Zulkarnain Mohd. Yassin mengesahkan Alvin dan Vivian telah memberi keterangan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan menyalah guna kemudahan rangkaian sosial.
Katanya, selepas mengambil keterangan yang diperlukan, SKMM akan segera menyerahkan kertas siasatan itu kepada pejabat Peguam Negara (AG) minggu ini untuk tindakan lanjut.
"Pihak kami akan cuba menyiapkan kertas siasatan berhubung perkara itu dalam tempoh dua atau tiga hari lagi. Namun setakat ini kami tidak dapat jangka berapa panjang keterangan yang perlu diambil.
"Kami juga sedar perkara ini mendapat perhatian ramai namun berharap siasatan tidak diganggu dengan pelbagai spekulasi," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan pejabat SKMM di sini hari ini.
Petugas media yang menunggu di pekarangan pejabat SKMM sejak pagi ini melihat pasangan itu keluar menaiki sebuah kereta pukul 9.30 malam ini.
Ditanya tentang kerjasama dengan pihak polis berhubung kes itu, Zulkarnain berkata, SKMM sedia bekerjasama namun siasatan pihaknya akan diserahkan kepada AG terlebih dahulu.
"Mungkin polis mempunyai perkara berbeza dalam siasatan kes ini dan pendakwaan mengikut Kanun Keseksaan. Tetapi kami akan bersama-sama untuk membantu cuma siasatan SKMM akan diserahkan kepada AG dahulu," katanya.
Tambah beliau, pihaknya telah melaporkan kepada pihak Facebook supaya mengambil tindakan dengan menutup laman sosial milik pasangan berkenaan.
Difahamkan, mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Alvin dan Vivian berdepan dengan hukuman penjara selama satu tahun atau denda RM50,000.
0 comments:
Post a Comment