Gempar!! Mangkuk Tandas Meletup
Keadaan Sakereen yang cedera di paha dan belakang badan selepas mangkuk tandas di stesen LRT di Sri Rampai, Wangsa Maju meletup semalam.
KUALA LUMPUR - Seorang pemuda cedera di beberapa bahagian badan selepas mangkuk tandas di stesen transit aliran ringan (LRT) Sri Rampai di Wangsa Maju di sini meletup semalam.
Dalam kejadian pada pukul 1.20 petang, Muhd. Sakereen Basri, 22, seorang penganggur, baru duduk atas mangkuk tandas itu.
Akibat letupan yang menyebabkan sebahagian kecil mangkuk tandas itu pecah, mangsa mengalami calar di kedua-dua belah paha dan luka di belakang badan akibat terkena serpihan mangkuk tandas yang pecah. Mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, pemeriksaan polis menemui kesan serpihan mangkuk tandas yang pecah serta cebisan kertas selain terdapat bau belerang di tempat kejadian.
"Cebisan kertas itu dipercayai digunakan untuk membalut bahan letupan yang disyaki mercun yang diletakkan di sekitar kawasan mangkuk tandas tersebut," kata beliau yang mengesyaki kejadian itu adalah perbuatan khianat.-kosmo
0 comments:
Post a Comment