Leave a Comment

Pengemis bersuara emas ditawar jadi pelakon

 
 
DUA hos Meredith Vieira (kiri) dan Matt Lauer (tengah) mewawancara Ted Williams dalam program televisyen Today di New York kelmarin.




NEW YORK - Pengemis memiliki suara emas, Ted Williams kini ditawarkan untuk berlakon dalam filem terbitan pelakon dan pengarah terkenal, Jack Nicholson, lapor Entertainment Tonight kelmarin.

Tawaran itu adalah yang terbaru selepas dia tiba-tiba menjadi popular di Amerika Syarikat (AS) dan mendapat banyak tawaran untuk menggunakan suara emasnya dengan bayaran lumayan selepas satu klip video menunjukkan dia mengemis disiarkan di Internet.

Nasib Williams yang berusia 53 tahun itu berubah serta-merta selepas seorang jurugambar akhbar Columbus Dispatch merakamkan gelagat pengemis itu bercakap meminta bantuan dengan menggunakan suara emasnya di tepi jalan di Houston Street, Columbus, Ohio. Jurugambar itu kemudian menyebarkan rakamannya itu di Internet.



Semasa rakaman itu, pengemis itu meminta bantuan kewangan dengan tangannya memegang cebisan kotak mengandungi ayat yang memperkenalkan dirinya sebagai bekas juruhebah radio.

Dia kemudian bercakap seperti aksi deejay radio.

Williams kini menimbangkan tawaran untuk menjadi penyumbang suara bagi memberitahu perkembangan pasukan bola keranjang Cleveland Cavaliers dalam liga Bola Keranjang Nasional (NBA).

Dia juga ditawarkan untuk merakamkan iklan Kraft Macaroni & Cheese yang akan disiarkan di saluran Rangkaian Hiburan dan Sukan (ESPN) semasa perlawanan Fight Hunger Bowl pada perlawanan akan datang.

Ekoran penemuan pengemis bersuara emas itu, seorang ejen pencari bakat, Shane Cormier berkata, dia boleh menjadikan Williams jutawan kerana keunikan suaranya.

Menyentuh mengenai tawaran terbaru dalam bidang lakonan, Williams berkata: "Jack Nicholson telah menghubungi seorang ahli keluarga saya yang kebetulan berada di Columbus, Ohio. Mereka akan menerbitkan sebuah filem dengan Jack memainkan watak sebagai seorang deejay. Dia mahu saya berlakon bersamanya," kata Williams.

Berita tersebut didedahkan selepas Williams bertemu semula dengan ibunya, Julia Williams di New York untuk pertama kali selepas 20 tahun.

Dalam pertemuan yang penuh emosi itu, Julia yang berusia 90 tahun berkata: "Anak saya yang suka membazir akhirnya pulang ke rumah."

Pengemis itu turut berkata: "Saya sudah sampai di rumah. Saya pernah beritahu akan pulang pada tahun ini. Saya tidak kelihatan hebat. Tetapi saya sudah ada di rumah," kata Williams.

Kelmarin, dia merakamkan suaranya untuk program promosi penjenamaan terbitan stesen televisyen MSNBC.

Dia tinggal di jalanan pada 1993 selepas kehidupannya musnah akibat penyalahgunaan dadah dan alkohol.

Beberapa hari lalu, dia hidup di dalam sebuah khemah di tepi lebuh raya di Columbus.

Sebelum menjadi terkenal disebabkan klip video selama 90 saat di Twitter dan YouTube, Williams pernah ditahan di beberapa buah lokap di Ohio atas dakwaan jenayah seperti mencuri dan memiliki dadah.

Semasa diwawancara dalam rancangan televisyen Today, kelmarin, dia mengaku terlibat dalam jenayah untuk memenuhi keperluan ketagihan dadahnya.

Williams pernah menjadi juruhebah radio sebelum dia hilang pekerjaan kerana masalah ketagihan alkohol dan dadah.

Namun, dia kini tidak lagi mengambil dadah atau alkohol selama dua tahun.

Williams turut menyuarakan perasaan terkejutnya apabila banyak pihak memberi perhatian terhadapnya semasa dia muncul dalam program Today terbitan stesen televisyen NBC itu di New York.

"Amat memeranjatkan. Ia merupakan fenomena dan tidak mungkin saya pernah bayangkan semua perkara ini akan berlaku. Saya rasa seperti Susan Boyle atau Justin Bieber," katanya yang dipetik daripada akhbar Columbus Dispatch.

Susan Boyle, 49, menjadi terkenal di dunia kerana suaranya yang merdu semasa menyertai pertandingan bakat nyanyian Britain's Got Talent pada 2009.

Justin Bieber pula menjadi penyanyi amat popular masa kini walaupun dia kini berusia 16 tahun.

Mengulas mengenai pengajaran yang didapati semasa melayan golongan yang tidak berumah Williams berkata: "Jangan menilai manusia secara luarannya. Semua orang mempunyai kisah tersendiri." - Agensi

0 comments:

Post a Comment