Leave a Comment

Menaiki Kapal Terbang Boleh Mengundang Pelbagai Penyakit



http://akubudakkola.blogspot.com





 MEMILIH untuk menaiki kapal terbang ke destinasi pilihan tentunya memberi keterujaan apatah lagi jika ia pengalaman pertama.

Namun, dalam keseronokan untuk terbang, masih ada perkara yang perlu diambil berat demi memastikan keselesaan anda sebagai penumpang di sepanjang penerbangan.

Ini kerana boleh dikatakan hampir semua penumpang kapal terbang tidak dapat lari daripada merasai tekanan di bahagian dalam telinga ketika pesawat hendak berlepas mahupun mendarat.

Gangguan sindrom telinga pesawat yang juga dikenali sebagai airplane ear atau barotrauma ini boleh mengakibatkan telinga berdengung dan rasa sakit di bahagian dalam telinga.







Penulis sendiri sering berdepan gangguan yang sama setiap kali menaiki kapal terbang, adakalanya kesakitan tersebut boleh mengundang masalah lain seperti pening dan loya.

Apa yang lebih teruk, keadaan ini boleh berlarutan selepas beberapa jam pesawat mendarat.

“Apa yang anda alami bukan perkara biasa. Biasanya, penumpang hanya mengalami sedikit tekanan dan telinga berdengung, tetapi selepas pesawat mendarat, ia sudah hilang sepenuhnya.

“Mungkin kesihatan yang kurang baik ketika menaiki kapal terbang memburukkan lagi tekanan telinga pesawat yang dialami,” ulas Perunding dan Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) Hospital Pantai Ampang, Kuala Lumpur, Dr. Raymond Tan Suan Kuo.

Ditafsirkan sebagai kecederaan pada bahagian telinga tengah, gejala tersebut disebabkan oleh perubahan tekanan udara sewaktu dalam penerbangan.

“Tekanan telinga pesawat boleh berlaku di kedua-dua belah telinga.



Seperti dicucuk

“Ia akan lebih serius apabila penumpang terbang ketika sedang mengalami selesema, hidung tersumbat, alahan hidung, tekak atau jangkitan resdung.

“Gejala yang sama juga boleh berlaku jika memandu di kawasan pergunungan atau berada di tempat yang tinggi serta ketika menyelam skuba,” jelas Raymond.

Menurutnya lagi, tekanan udara yang tidak seimbang di antara telinga tengah dan tekanan udara persekitaran boleh menghalang gegendang telinga bergetar secara normal.

“Apabila tekanan udara persekitaran berubah secara mendadak, saluran eustachia yang menghubungkan bahagian tekak dan telinga tengah tidak dapat memberi reaksi pantas yang boleh menyeimbangkan tekanan menjadi punca gangguan ini terjadi.

“Telinga akan berdengung dan akan lega jika mengunyah atau menelan makanan,” ujarnya.

Bagaimanapun, bagi penumpang yang mengalami tekanan yang disusuli rasa sakit seperti bahagian dalam telinga dicucuk dengan benda tajam, Raymond memberitahu itu bukan gejala biasa.

“Jika saluran eustachia tersebut tersumbat atau mempunyai masalah lain seperti jangkitan kuman, tekanan di telinga tengah boleh mendatangkan masalah yang lebih besar.

“Pendengaran akan mulai merosot, telinga tidak selesa, berdengung, pendarahan daripada telinga yang boleh menyebabkan pening dan kesakitan dalam telinga yang berpanjangan,” katanya.

Apa yang lebih membimbangkan, gangguan ini boleh mendatangkan risiko besar kepada kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah.

“Tekanan ini mampu membocorkan telinga tengah dan mengakibatkan lebih banyak masalah. Telinga mereka akan sakit dan rasa tidak selesa, itu menyebabkan mereka kuat menangis.

“Segera periksa telinga anak anda selepas tangisan mereka reda. Jika ada lelehan nanah atau darah, bawa segera anak berjumpa doktor untuk rawatan lanjut,” ujarnya.

Nanah

Kebocoran telinga tengah boleh mengakibatkan masalah yang lebih besar kerana ia berfungsi sebagai dinding penutup bahagian dalam dan luar telinga, sama seperti jika perut anda bocor hingga menampakkan usus dan isi perut.

“Apabila disahkan ada kebocoran pada telinga tengah, ritma kehidupan mereka turut terganggu.

“Pesakit tidak boleh berenang kerana air yang memasuki telinga akan menyebabkan telinga mendapat jangkitan kuman.

“Jika itu berlaku, telinga mudah bernanah. Pesakit juga sentiasa terdedah kepada pencemaran seperti habuk dan terpaksa menanggung kesakitan apabila mendengar bunyi yang kuat. Pembedahan perlu dijalankan untuk menutup semula kebocoran tersebut,” tambahnya.



PEMERIKSAAN telinga perlu segera dilakukan sekiranya gejala telinga pesawat tidak berkurangan.





Bagaimanapun, sekiranya telinga bocor ini dialami oleh kanak-kanak, mereka terpaksa menunggu hingga usia 16 tahun untuk dibedah.

“Kanak-kanak adalah golongan paling berisiko untuk mendapat tekanan telinga pesawat yang membawa kebocoran telinga dalam.

“Jika kebocoran terjadi, pembedahan tidak terus dilakukan kerana bahagian dalam telinga kanak-kanak masih kecil dan perlu menunggu umur sekurang-kurangnya 16 tahun untuk dibedah.

“Saranan saya, pastikan anda mempunyai sesuatu untuk dikunyah seperti asam atau gula-gula getah ketika berada di kawasan tinggi.

“Gangguan tekanan telinga pesawat biasanya timbul daripada masalah kesihatan yang lain. Jika anda merancang untuk menaiki kapal terbang atau menyelam skuba, pastikan kesihatan anda berada di tahap yang baik.

“Pesakit resdung dan penghidap selesema atau jangkitan hidung berisiko untuk mendapat tekanan yang lebih teruk berbanding penumpang yang sihat,” nasihatnya.

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN

0 comments:

Post a Comment